Showing posts with label isu hijau. Show all posts
Showing posts with label isu hijau. Show all posts
Keperluan Tenaga Negara Meningkat Dua Kali Ganda Menjelang 2030
KUALA LUMPUR 28 Feb. – Bekalan tenaga yang diperlukan negara dijangka meningkat sebanyak dua kali ganda menjelang tahun 2030.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, berdasarkan pertumbuhan ekonomi semasa, keperluan tenaga seperti minyak, gas asli, arang batu, nuklear, hidroelektrik dan tenaga boleh diperbaharui dijangka meningkat pada kadar 3.4 peratus setiap tahun.
“Menjelang 2030 jumlah tenaga yang diperlukan negara adalah dua kali ganda daripada yang digunakan pada 2010 iaitu bersamaan dengan bekalan 92.9 juta tan minyak,” katanya semasa berucap merasmikan Persidangan Keselamatan Tenaga Kebangsaan di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Loo Took Gee; Pengerusi Suruhanjaya Tenaga, Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali; Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ir. Ahmad Fauzi Hasan dan Bekas Pengarah Eksekutif Agensi Tenaga Antarabangsa, Nobua Tanaka.
Sehubungan itu beliau menjelaskan, negara kini berdepan cabaran besar dalam pengurusan sumber tenaga bagi menampung pertumbuhan ekonomi yang lebih rancak menjelang 2020.
“Rizab minyak dan gas negara kini turut menyusut dan pengeluaran telah menurun pada kadar kira-kira dua peratus setiap tahun,” katanya.
Fah Kui berkata, walaupun negara mempunyai sumber minyak dan gas asli untuk menampung pembangunan, kebanyakan daripada sumber itu telah dibangun dan berada di peringkat hadapan pengeluaran.
Keadaan itu katanya, menyebabkan Malaysia kini semakin bergantung pada bekalan gas import untuk memenuhi permintaan.
“Lebih 30 peratus daripada bekalan gas asli yang disalurkan di Semenanjung Malaysia adalah bekalan import dari Indonesia, Thailand dan Vietnam.
“Jumlah penggunaan gas di Semenanjung Malaysia kini meningkat sebanyak 13 peratus sejak sedekad lalu,” katanya.
Beliau berkata, dalam ketidaktentuan sumber tenaga di peringkat global, isu keselamatan tenaga kini menjadi isu utama negara-negara di seluruh dunia.
Sumber
Topeng Cas Telefon Bimbit
Contoh topeng AIRE (gambar bawah) dan seorang model menggunakan topeng tersebut semasa tidur (gambar atas). - agensi
LONDON 12 Mac - Topeng muka yang sebelum ini digunakan untuk menapis udara tercemar kini mampu mengecas telefon bimbit.
Seorang pencipta, Joco Paulo Lammoglia berjaya mencipta sejenis peralatan pintar dengan mengubah udara yang terhasil daripada paru-paru manusia kepada tenaga, sekali gus memberi manfaat kepada pengguna telefon bimbit yang sebelum ini bergantung kepada tenaga elektrik.
Gajet yang diberi nama topeng AIRE itu, sebenarnya mengandungi turbin angin kecil, dan tenaga yang terhasil daripadanya dipindahkan melalui kabel ke peralatan elektronik pengguna.
Menurut pencipta yang berasal dari Rio de Janeiro, Brazil itu, topeng AIRE boleh digunakan dalam sebarang situasi sama ada semasa berlari mahu pun tidur.
''Ia boleh digunakan untuk aktiviti di dalam, mahu pun di luar sama ada ketika kita tidur, berjalan, berlari hatta membaca buku sekali pun.
''Selain menjimatkan tenaga, ia mampu membantu memelihara alam sekitar dan menggalakkan aktiviti bersenam.
''Tenaga yang terhasil daripada alat itu juga boleh didapati setiap 24 jam dan tujuh hari seminggu,''katanya.
Lammoglia berkata, walaupun kebanyakan gajet moden pada masa ini menawarkan banyak kemudahan kepada pengguna, namun ia masih terlalu bergantung kepada penggunaan tenaga elektrik yang banyak.
''Justeru, dengan memanfaatkan tenaga yang terhasil daripada aktiviti-aktiviti manusia dan menukarnya kepada tenaga elektrik adalah tidak mustahil, maka, ia merupakan penyelesaian yang baik (daripada terlalu bergantung kepada tenaga elektrik),'' katanya. - AGENSI
Sumber
Pembukaan Loji Nuklear Dibantah
TOKYO 12 Mac - Sekumpulan penduduk Jepun hari ini memfailkan tuntutan saman bagi menghalang loji nuklear Fukushima beroperasi semula, sehari selepas ulang tahun pertama kejadian tsunami yang mencetuskan krisis nuklear di wilayah itu.
Kumpulan terdiri daripada 259 penduduk itu mengemukakan tuntutan di Mahkamah Daerah Osaka, memerintahkan pembukaan semula kemudahan loji nuklear Kansai Electric Unit 3 dan 4, terletak di Oi, bahagian tengah Fukui dihalang.
Semalam, beribu-ribu penduduk berhimpun dekat loji Fukushima, meminta loji nuklear itu ditutup selepas gempa bumi dan tsunami yang berlaku setahun lalu menyebabkan kebocoran nuklear di loji itu.
Tsunami berukuran 9 pada skala Richter itu menenggelamkan sistem penyejukan loji tersebut dan menyebabkan tiga reaktor lebur, sehingga meruahkan radiasi ke kawasan berdekatan.
Seorang anggota kumpulan yang mengemukakan tuntutan itu, Kiyoko Shimada berkata, rancangan membuka semula reaktor Oi masih terlalu awal.
"Reaktor ini dikatakan yang pertama di Jepun dibuka selepas kejadian Fukushima, namun masih banyak perkara sampingan yang tidak mereka fikirkan, ia masih terlalu awal," katanya.
Dalam pada itu, kerajaan Jepun dilaporkan bercadang meluluskan operasi semula loji Oi seawal bulan ini.
Kyodo News melaporkan, Perdana Menteri Yoshihiko Noda memberi jaminan semalam akan berusaha mendapatkan kelulusan tempatan sebelum memulakan operasi reaktor nuklear, satu tindakan yang dianggap perlu bagi mengelak berlakunya gangguan di seluruh Jepun.
Kansai Electric dalam kenyataan pula berkata, walaupun pihaknya enggan mengulas mengenai tuntutan tersebut, namun mereka telah mengambil kira pelbagai sudut dalam memastikan operasi semula reaktor nuklear itu selamat. - AFP
Bangunkan Teknologi Kuasa
Mukhriz Mahathir (kanan) dan Dr. Kamarulzaman Mohamed Zain (tiga dari kanan) melawat pameran produk semikonduktor selepas majlis pengumuman pakatan kerjasama antara MIMOS dan Silterra Malaysia Sdn. Bhd. dalam industri pembuatan PowerMOS.
ORGANISASI peneraju industri teknologi maklumat (ICT) negara, MIMOS Berhad sentiasa meneroka dan mencari peluang pakatan strategik bersama pihak industri yang berpotensi tinggi.
Merancakkan usaha tersebut, MIMOS baru-baru ini telah menjalin kerjasama pintar dengan syarikat pengeluar wafer semikonduktor, Silterra Malaysia Sdn. Bhd. (Silterra) untuk menghasilkan produk cip Litar Integrasi Pengurusan Kuasa (PowerMOS).
Secara asasnya, pakatan operasi pembuatan fabrikasi wafer itu dilihat mampu memacu sinergi industri berkenaan ke peringkat lebih baik menerusi penggunaan sumber dalam negara secara optimum.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MIMOS Berhad, Datuk Abdul Wahab Abdullah, pihaknya sentiasa menyokong usaha kajian dan penyelidikan (R&D) syarikat-syarikat tempatan yang mahu menjadikan produk keluaran mereka mencapai standard dan kualiti terbaik.
"Justeru, melalui kerjasama dengan Silterra ini, kita mahu membina keupayaan dan kemahiran tempatan untuk membangunkan produk PowerMOS bagi memenuhi permintaan pasaran global.
"Sesuai dengan matlamat MIMOS ingin mencipta pasaran menggunakan kapasiti nasional, ia bakal melengkapkan rantaian nilai dalam teknologi pembuatan semikonduktor.
"Kelebihan lainnya, pakatan ini turut berupaya mengurangkan kos pembuatan serta kos mengimport,'' katanya pada majlis pengumuman kerjasama berkenaan di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir.
Dalam ucapannya, Mukhriz menyokong usaha seumpama itu kerana ia merealisasikan matlamat kerajaan mahu memacu pertumbuhan dan merancakkan persaingan dalam bidang pengurusan kuasa serta penggunaan tenaga secara efisien.
"Ia juga secara tidak langsung akan dapat mencipta peluang kerjaya berpendapatan tinggi di kalangan rakyat,'' katanya.
Melalui kerjasama tersebut, MIMOS dan Silterra bakal melengkapkan operasi pembuatan semikonduktor bersama pihak-pihak seperti institusi penyelidikan, universiti tempatan dan industri kecil (SME) yang membangunkan produk berkenaan.
Di samping itu, MIMOS akan turut memberi sokongan daripada segi latihan, penyelidikan, pengujian dan pembangunan secara lebih fleksibel.
Produk wafer semikonduktor biasanya digunakan dalam pembangunan produk elektronik, seperti suis, alat pembekal kuasa dan motor kawalan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Silterra Malaysia Sdn. Bhd., Dr. Kamarulzaman Mohamed Zain berharap dana yang diperoleh daripada MIMOS itu akan dapat memberi impak yang cukup baik dalam perkembangan bisnes Silterra di peringkat global.
"Usaha ini akan melibatkan pemindahan teknologi, reka bentuk, dan sokongan pembangunan operasi secara asas untuk pembuatan produk semikondutor,'' jelasnya.
Ketika ini, produk-produk semikonduktor Silterra mendapat permintaan tinggi daripada negara-negara seperti Amerika Syarikat (AS), Taiwan, Korea dan China.
Sumber
Sisa Kilang Lynas Akan Dihantar Ke Luar Negara
SISA buangan kilang Lynas di Gebeng, Kuantan ini akan dihantar ke luar negara apabila ia beroperasi kelak.
KUANTAN – Syarikat perlombongan nadir bumi Lynas (M) Sdn. Bhd. bersetuju untuk menghantar ke luar negara bahan buangan dari kilang memproses bahan itu yang terletak di Gebeng dekat sini.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Lynas telah menghantar surat jaminan kepada kerajaan sebagai mematuhi sebahagian syarat yang dikenakan kepada syarikat itu ketika mereka menerima lesen beroperasi sementara daripada Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) baru-baru ini.
“Walaupun kerajaan berpuas hati bahawa tidak akan ada residue (bahan buangan) radioaktif yang dihasilkan oleh Lynas semasa operasi mereka, sebagai langkah tambahan setelah disyorkan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), kerajaan mengarahkan Lynas memberikan jaminan dan merancang untuk menyediakan kemudahan pelupusan tetap (PDF) jauh dari penempatan awam.
“Sekiranya syarikat gagal mendapatkan lokasi kemudahan pelupusan tetap tersebut, residue yang dihasilkan akan dibawa keluar dari Malaysia,” katanya ketika membaca kenyataan bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri di sini semalam.
Sumber
KL Jadi Bandar Mesra Basikal
RAZALI (tiga dari kanan) dan Abdul Azim (tengah) bersedia untuk memulakan kayuhan pada Program Berbasikal Fun Ride sempena Hari Wilayah 2012 di pekarangan Kompleks Kraf Kuala Lumpur semalam.
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, perbincangan mengenainya sedang dijalankan dengan mengambil kira beberapa faktor terutama keselamatan sebelum ia dilaksanakan.
"Kuala Lumpur banyak kawasan yang perlu diubah suai, tidak semua kawasan mesra basikal, takut ada kemalangan, perlu fikir pengguna trafik yang lain juga," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Berbasikal Fun Ride sempena Hari Wilayah 2012 anjuran Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB) Pergerakan Pemuda UMNO di sini semalam.
Seramai 900 penunggang basikal yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan usia menyertai program itu mengelilingi sekitar ibu kota dengan jarak sejauh 13 kilometer. Antara yang mengambil bahagian ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim dan Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi.
Selain itu, Raja Nong Chik berkata, pihak kementerian dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur juga telah mengambil pelbagai langkah dalam usaha memberi lebih ruang kepada pejalan kaki dan penunggang basikal di dalam bandar.
Sumber













